KUALA LUMPUR, 25 Julai 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini membuka sesi rundingan awam berhubung cadangan Kerangka Penyimpanan, Pemeliharaan dan Pendedahan Data Komunikasi bagi tujuan siasatan. Kertas rundingan ini dibuka dari 25 Julai hingga 8 Ogos 2025.
Cadangan tersebut melibatkan kewajipan penyedia perkhidmatan komunikasi, aplikasi dan platform untuk:
• Menyimpan metadata komunikasi tertentu.
• Memelihara data penting atas permintaan pihak berkuasa.
• Menyerahkan data apabila diminta secara sah.
MCMC menegaskan bahawa kerangka ini bertujuan memperkukuh keselamatan negara, membanteras jenayah siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak serta keganasan, tanpa menjejaskan hak privasi pengguna. Akses kepada data kekal tertakluk pada undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.
