PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai BRICS, sebuah organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China, dan Afrika Selatan, kepada Russia selaku Pengerusi BRICS.
Menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri, niat Malaysia untuk menyertai BRICS menjadi topik utama perbincangan antara Anwar dan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, semasa kunjungan hormat Lavrov ke Kompleks Seri Perdana semalam.
“Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi (BRICS) kepada Russia selaku Pengerusi BRICS, selain menyatakan keterbukaan untuk menyertainya sebagai negara anggota atau rakan strategik,” jelas kenyataan itu pada 28 Julai 2024.
Pada 18 Jun, Anwar telah menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
APA ITU BRICS ?
Nama BRICS merupakan sebuah akronim kepada ahli-ahli tetap seperti Brazil, Russia, India, China, dan Afrika Selatan. Istilah ini pada mulanya dicipta sebagai BRIC (tanpa Afrika Selatan).
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun dan terdiri daripada Brazil, Russia, India, dan China. Afrika Selatan menyertai pada 2010, dan kemudiannya diikuti oleh Mesir, Ethiopia, Iran, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi dunia dan merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus daripada penduduk dunia.
Ketibaan Lavrov dan delegasinya pada jam 10 pagi semalam di Kompleks Seri Perdana disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir Zambry.
Sepanjang pertemuan hampir satu jam itu, Anwar dan Lavrov turut membincangkan usaha untuk memperkukuh hubungan Malaysia-Russia serta memperluas kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, keselamatan, pertahanan, pendidikan tinggi, sains dan teknologi, pelancongan, dan kebudayaan.
Selain itu, mereka turut membincangkan situasi semasa di Palestin, dengan Malaysia menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata yang berkekalan serta bantuan kemanusiaan segera di Gaza. Malaysia juga menyokong usaha Palestin untuk menjadi ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berhubung dengan konflik di Ukraine, Anwar turut menyeru agar dialog dan perbincangan dijadikan jalan penyelesaian kepada krisis tersebut.
SUMBER : BERNAMA
