INDIA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia berhasrat untuk memperluaskan diplomasi ekonominya melalui penyertaan dalam platform antara kerajaan seperti BRICS, di samping memperkukuh kerjasama melalui inisiatif bersama dan perkongsian strategik.
Malaysia telah mengambil langkah memohon untuk menyertai BRICS, sebuah blok kerjasama ekonomi yang terdiri daripada negara-negara yang sedang pesat membangun. BRICS, yang ditubuhkan pada tahun 2009, terdiri daripada Brazil, Russia, India, dan China, dengan Afrika Selatan menyertai blok ini pada tahun 2010. (KLIK DISINI UNTUK MEMBACA ARTIKEL BERKAITAN)
Pada Januari 2024, beberapa negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertai BRICS sebagai anggota baharu.
Menurut Anwar, peranan India yang berbeza dan berpengaruh dalam BRICS adalah penting, terutamanya kerana hubungan dua hala yang kukuh akan memberi nilai tambah kepada dinamika perkumpulan ini.
Beliau menyampaikan kenyataan ini semasa menyampaikan syarahan bertajuk “Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties” di Sapru House, Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA), di New Delhi semalam.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut menyuarakan keyakinan bahawa penyertaan Malaysia dalam BRICS bukan sahaja akan memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan India tetapi juga membuka peluang kerjasama yang lebih luas merentasi pelbagai industri dan dasar.
Menegaskan pentingnya minilateralisme, Anwar berkata walaupun ada pandangan yang mempertikai pengaturan sedemikian, Malaysia melihatnya sebagai mekanisme penting untuk memastikan manfaat awam dapat disampaikan demi kesejahteraan rakyat dan peningkatan taraf hidup.
“Berdasarkan kepentingan ini, Malaysia tidak akan mengelak daripada menyertai pengaturan yang membawa manfaat. Langkah Malaysia memohon untuk menyertai BRICS adalah contoh yang jelas,” ujar Anwar.
Secara keseluruhan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara-negara anggota BRICS adalah sebanyak AS$26.6 trilion, bersamaan 26.2 peratus daripada KDNK dunia, hampir menyamai kekuatan ekonomi negara-negara kumpulan G7.
Anggota BRICS juga mempunyai populasi yang besar, dengan jumlah keseluruhan 3.21 bilion orang, dan dijangka meningkat lagi dengan penyertaan Mesir, Ethiopia, Iran, dan UAE yang berjumlah 333 juta penduduk, menjadikan keseluruhan populasi BRICS kepada kira-kira 3.54 bilion orang, iaitu hampir 45 peratus daripada penduduk dunia.
Anwar tiba di New Delhi pada hari Isnin untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari bagi memperkukuh hubungan antara Malaysia dan India yang telah terjalin selama 67 tahun, serta merangka agenda kerjasama dalam pelbagai sektor pada masa hadapan.
Dalam lawatan ini, beliau diiringi oleh beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke India sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Pada tahun 2023, perdagangan dua hala antara Malaysia dan India bernilai AS$16.5 bilion, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 8.5 peratus dalam dua dekad yang lalu.
Anwar turut menekankan bahawa pertumbuhan perdagangan ini bukan sekadar angka, tetapi juga mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin erat, difasilitasi oleh rangka kerja seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India.
SUMBER : BERNAMA. BERITA HARIAN
