Portal Hello

Malaysia Kekal Terbuka Terhadap Perdagangan, Pelaburan – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal sebagai negara perdagangan terbuka, menerima pelaburan daripada pelbagai negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) yang merupakan rakan dagang terbesar negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan firma Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York, adalah penting kepada negara.

“Kami menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia mesti kekal sebagai negara perdagangan, terbuka kepada pelaburan, dan oleh itu, kerjasama antara MAHB dan GIP, bagi kita, adalah kritikal.

“Jadi kita sebagai kerajaan menyokong (kerjasama), begitu juga penglibatan BlackRock dalam negara ini, saya jelaskan di hadapan Ahli Parlimen. Saya fikir itu menjelaskan dengan baik kedudukan kita berbanding pelaburan dari luar negara dan, khususnya, dari Amerika Syarikat,” katanya dalam sesi soal jawab pada Mesyuarat Agung Tahunan American Malaysian Chamber Of Commerce (AMCHAM Malaysia), pada Selasa.

Terdahulu di Parlimen, Anwar memberi jaminan bahawa pengurusan firma GIP tidak akan dikawal oleh syarikat pengurusan aset Amerika Blackrock Inc, yang diketahui mempunyai hubungan pro-Israel.

Beliau menjelaskan, walaupun Blackrock memperoleh GIP, pengurusan GIP akan mengekalkan kawalan dan tanggungjawab penuh ke atas hala tuju strategik syarikat dan syarikat yang dilabur mereka.

SUMBER : ASTRO AWANI

Exit mobile version