Portal Hello

Mahkamah Tinggi Putus MCMC Menang Kes Fitnah Terhadap Murray Hunter

CYBERJAYA, 16 Oktober 2025 – Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan bahawa penulis bebas, Murray Victor Hunter, bersalah dalam kes fitnah terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Keputusan yang dibuat pada 15 Oktober 2025 itu berpunca daripada beberapa artikel yang diterbitkan oleh Hunter antara April hingga November 2024, yang mengandungi tuduhan palsu, berunsur jahat serta tidak berasas terhadap MCMC.

Artikel-artikel tersebut didapati mengandungi dakwaan serius yang memberi gambaran negatif serta mengelirukan masyarakat mengenai peranan dan integriti MCMC sebagai badan pengawal selia komunikasi negara. Kenyataan-kenyataan itu telah menjejaskan reputasi serta kepercayaan awam terhadap institusi berkenaan.

Dalam penghakimannya, mahkamah menegaskan bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah atau menyebarkan maklumat palsu. Setiap individu berhak menyuarakan pendapat, namun hak tersebut perlu diamalkan secara bertanggungjawab dan mengikut batas undang-undang.

MCMC menjelaskan bahawa tindakan undang-undang ini diambil bagi mempertahankan maruah serta kredibiliti institusi, di samping menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan komunikasi beretika dalam ekosistem digital negara.

Keputusan ini turut menjadi peringatan penting kepada orang ramai bahawa penyebaran maklumat palsu atau berunsur fitnah boleh membawa kesan undang-undang yang serius dan menjejaskan keharmonian masyarakat digital.
Exit mobile version