Lonjakan dalam WCR 2025 cerminan pemulihan ekonomi negara yang kukuh

KUALA LUMPUR – Peningkatan kedudukan Malaysia dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025 daripada tangga ke-34 ke tangga ke-23 disifatkan sebagai satu lonjakan luar biasa yang mencerminkan pemulihan ekonomi negara yang kukuh.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, kenaikan sebanyak 11 anak tangga dalam tempoh setahun jarang berlaku, apatah lagi selepas negara mengalami penurunan tujuh tangga tahun lalu.
“Ini bukan sekadar pemulihan, malah pencapaian yang lebih baik daripada sebelum ini. Ia hasil gabungan dasar fiskal yang berhati-hati, pelaksanaan subsidi bersasar serta peningkatan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia,” jelas beliau.
Tambah beliau, penyelarasan subsidi yang dilaksanakan kerajaan dilihat mula memberi kesan positif terhadap struktur ekonomi negara, sekali gus menyumbang kepada penambahbaikan keseluruhan dalam aspek daya saing.
“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa usaha kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus fiskal sedang menampakkan hasil,” katanya.
Bagaimanapun, Prof. Barjoyai mengakui bahawa kesan peningkatan ini masih belum sepenuhnya dirasai oleh rakyat.
Namun, dalam tempoh masa sederhana, beliau menjangka rakyat akan melihat manfaatnya melalui pertambahan peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
“Dengan kedudukan baharu ini, pasaran kerja dijangka lebih rancak dan ekonomi domestik akan terus dirangsang.
“Gaji di sektor swasta juga dijangka meningkat seiring prestasi ekonomi dan keyakinan pasaran yang semakin baik,” katanya.
Malaysia kini berada di landasan positif untuk mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan dan ekonomi yang kompetitif di peringkat global.



