Berita

Lawatan rasmi ke Moscow: Langkah strategik Malaysia perkukuh diplomasi pelbagai hala

KUNJUNGAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Moscow, Rusia ketika ini merupakan manifestasi jelas pendekatan Malaysia yang konsisten dalam mengamalkan dasar luar negara yang bebas, pragmatik dan berkecuali.

Dalam suasana geopolitik global yang semakin kompleks, khususnya pasca-perang perdagangan Amerika Syarikat–China dan konflik Rusia–Ukraine, Malaysia mengambil pendekatan bijak dengan terus memperkukuh hubungan dengan kuasa-kuasa besar dunia termasuk Rusia tanpa meminggirkan rakan tradisinya seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Pensyarah dan Penyelaras Unit Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Hazmi Rusli berkata, hubungan yang erat dengan Rusia bukan sahaja membuka ruang kerjasama baharu, tetapi juga menggambarkan Malaysia sebagai negara yang memiliki reputasi baik di mata dunia.

“Ini terbukti apabila Rusia memberi kemudahan e-visa kepada rakyat Malaysia, satu isyarat kepercayaan yang tidak diberikan kepada semua negara.

“Walaupun insiden tragis MH17 masih segar dalam ingatan ramai, lawatan ini memberi isyarat penting bahawa Malaysia memilih untuk maju ke hadapan, meredakan ketegangan dan membina jambatan persefahaman,” kata beliau ketika dihubungi Negara News.

Tambah Dr. Hazmi, sejarah memperlihatkan Malaysia tidak mengambil masa lama untuk memulakan hubungan diplomatik dengan Kesatuan Soviet seawal tahun 1968, ketika mana dunia masih dibelenggu era Perang Dingin.

“Hari ini, Rusia tidak lagi sekadar digambarkan sebagai ‘musuh’ melalui lensa filem Hollywood, tetapi semakin dilihat sebagai sebuah negara dengan kekuatan ekonomi, ketenteraan dan pendidikan yang signifikan.

“Malah, bilangan pelajar Malaysia yang memilih Rusia sebagai destinasi pendidikan tinggi semakin meningkat, mendorong kerajaan Rusia untuk menambah bilangan biasiswa kepada mahasiswa kita,” jelas beliau yang juga merupakan pensyarah di Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.

Menurut Dr. Hazmi lagi, dalam sektor perdagangan, Rusia merupakan rakan dagang yang berpotensi besar.

“Data daripada Bernama menunjukkan nilai perdagangan dua hala Malaysia–Rusia meningkat sebanyak 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion pada tahun 2023, berbanding RM12.3 bilion pada tahun sebelumnya.

“Ia satu petanda positif terhadap kepercayaan dan potensi kerjasama ekonomi yang berterusan.

“Lawatan ini juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang relevan dalam percaturan global, khususnya apabila Malaysia diterima sebagai rakan kepada blok Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) .

“Walaupun bukan anggota penuh, pengiktirafan ini membuka laluan kepada lebih banyak ruang kerjasama dalam bidang pelaburan, kewangan dan pembangunan teknologi,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Dr. Hazmi menegaskan dalam isu serantau pula, keberkecualian Rusia dalam konflik Laut China Selatan seiring dengan pendirian Malaysia yang menjunjung penyelesaian secara damai berpaksikan undang-undang antarabangsa.

“Rusia seperti Malaysia, menyokong usaha membentuk kod tatakelakuan di perairan tersebut iaitu satu langkah penting untuk menjamin keamanan dan kestabilan jangka panjang di rantau ini.

“Hubungan Malaysia–Rusia yang terus diperkukuh adalah satu anjakan strategik dalam memperluas pengaruh diplomatik Malaysia di pentas dunia.

“Ia membuktikan bahawa dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, Malaysia mampu mengemudi haluan luar negaranya dengan berprinsip, namun tetap fleksibel dan berdaya tahan,” katanya menutup bicara.

Related Articles

Back to top button