KEPUTUSAN Amerika Syarikat menaikkan tarif import sebanyak 24 peratus baru-baru ini telah menggoncang landskap perdagangan global dan Malaysia tidak terkecuali menerima tempiasnya.
Di sebalik angka eksport yang memberangsangkan tahun lalu, negara kini berdepan realiti baharu yang menuntut kebijaksanaan, ketangkasan dan anjakan strategi yang holistik.
Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Dr. Goh Lim Thye berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menjadi nadi utama eksport negara, paling merasai tekanan.
“Dengan nilai eksport mencecah RM601.18 bilion pada 2024, ia menyumbang hampir 40 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia sekali gus membuktikan bahawa sektor ini bukan sahaja menjadi tulang belakang ekonomi, malah cerminan keupayaan Malaysia bersaing di pentas global.
“Litar bersepadu elektronik (IC) sahaja menyumbang lebih separuh daripada jumlah itu, dipacu oleh permintaan terhadap teknologi automasi, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT),” katanya ketika dihubungi.
Namun, jelas beliau walaupun semikonduktor dikecualikan daripada tarif baharu itu, komponen lain seperti sensor, papan litar dan peranti pengguna kini dilanda risiko penurunan permintaan.
“Malah, harga akhir produk yang meningkat mendadak di pasaran Amerika menyukarkan produk Malaysia untuk bersaing.
“Impaknya bukan sekadar kepada eksport langsung. Kesan berantai turut menjejaskan industri hiliran seperti pembekal acuan dan kejuruteraan presisi, logistik serta pusat penyelidikan tempatan yang menyokong keseluruhan ekosistem E&E,” ujar beliau.
Tambah Dr. Goh, pengurangan kontrak eksport bukan sahaja membantutkan pertumbuhan syarikat pengeluar, malah boleh menghambat pelaburan semula dan mencetuskan ketidaktentuan terhadap imbangan akaun semasa negara iaitu satu asas penting dalam menjaga kestabilan makroekonomi.
“Bagi sektor komoditi seperti minyak sawit dan petroleum, walaupun AS bukan destinasi utama, tarif ini mencetuskan sentimen pasaran yang kurang menyenangkan.
“Andai ketegangan perdagangan memuncak, Malaysia tidak mustahil menjadi sasaran tarif dalam sektor lain pula,” katanya.
Justeru dalam menghadapi cabaran tersebut, Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada pasaran AS.
“Kita mesti ubah peranan daripada sekadar pengeksport kepada pencipta nilai dalam ekonomi global,” tegas Dr. Goh.
Antara langkah utama yang disyorkan beliau ialah:
- Diversifikasi pasaran eksport melalui platform perdagangan seperti RCEP dan CPTPP. Ini membuka ruang ke pasaran seperti China, Jepun dan Chile — negara-negara yang semakin penting dalam rantau ini.
- Peningkatan nilai dalam rantaian pengeluaran, di mana Malaysia bukan hanya mengeluarkan komponen, tetapi turut membina produk akhir yang berjenama dan hasil rekaan sendiri.
- Pengukuhan ekosistem industri domestik, terutama dalam bidang pengujian, automasi dan rekaan semikonduktor. Ini menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai lokasi kilang tetapi juga pusat inovasi.
- Eksport perkhidmatan digital dan penyelesaian hijau seperti fintech dan teknologi tenaga boleh diperbaharui — sektor yang tidak tertakluk kepada tarif fizikal dan bergantung kepada kekuatan inovasi.
Mengulas lanjut, Dr. Goh memberitahu, kenaikan tarif turut mempengaruhi arus pelaburan asing langsung (FDI).
“Syarikat yang fokus kepada pasaran AS mungkin mempertimbangkan semula kedudukan Malaysia sebagai destinasi relokasi.
“Sebagai contoh, lokasi seperti Singapura, yang dikenakan tarif lebih rendah, mungkin dilihat lebih menarik bagi pelabur.
“Namun begitu, Malaysia masih mampu menarik FDI yang bersifat serantau dan mampan terutama dalam sektor semikonduktor, ESG dan tenaga bersih.
“Pelaburan besar seperti kilang cip Infineon bernilai RM25 bilion dan kehadiran Tesla serta AWS membuktikan Malaysia kekal kompetitif dalam ekosistem pelaburan global,” jelas beliau.
Untuk mengekalkan momentum ini, Dr. Goh menekankan pentingnya pelaksanaan dasar di bawah National Investment Aspirations (NIA) yang bukan sekadar menjana pelaburan, tetapi mencipta nilai sebenar melalui pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan.
Hakikatnya, tarif AS sebenarnya membuka ruang untuk Malaysia menonjol sebagai hab perdagangan serantau, khususnya dalam empat sektor strategik iaitu semikonduktor, logistik halal, tenaga hijau dan perkhidmatan digital.
“Dengan menyumbang 7 peratus daripada perdagangan semikonduktor dunia, kehadiran syarikat gergasi seperti Intel dan Infineon memberi kelebihan besar.
“Malaysia boleh menjadi nadi kepada aliran dagangan baharu di Asia dan Global South,” ujar Dr. Goh penuh yakin.
Dalam pada itu, di sebalik kesan antarabangsa, rakyat Malaysia turut merasai impaknya dalam kehidupan seharian.
Ujar beliau, tarif AS memberi tekanan kepada inflasi domestik melalui kenaikan kos pengeluaran dan gangguan rantaian bekalan.
“Apabila eksport merosot, kos tetap pengeluaran meningkat. Ini memberi kesan kepada harga barangan tempatan.
“Nilai ringgit yang lemah, kini sekitar RM4.50/USD, turut meningkatkan kos import makanan dan bahan mentah.
“Namun begitu, kerajaan masih mempunyai ruang untuk meredakan tekanan melalui bantuan tunai bersasar, galakan eksport ke pasaran alternatif dan pengukuhan pengeluaran tempatan,” jelas Dr. Goh.
Satu yang pasti, kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat bukan sekadar cabaran ekonomi tetapi ia juga menjadi medan ujian kepada daya tahan, kebijaksanaan dan keberanian Malaysia dalam menyesuaikan diri dalam dunia yang semakin kompleks.
“Dengan strategi yang tepat dan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, industri dan rakyat, Malaysia bukan sahaja mampu bertahan, malah muncul lebih kukuh dan berdikari,” ungkapnya.
