JOHOR BAHRU – Seorang penganggur, Leang Win Son, 31, dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas lima belas pertuduhan termasuk menculik, mengurung secara salah, dan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Selain itu, tertuduh juga didakwa mengumpul dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak pada bulan lalu.
Leang Win Son mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas semua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan jurubahasa mahkamah.
Menurut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rasidah Roslee, tertuduh didakwa menculik kanak-kanak bernama Albertine Leo Jia Hui dari jagaan sah ibunya di Eco Galleria, Taman Botani, Iskandar Puteri, kira-kira jam 8.30 malam pada 20 Julai lalu.
Atas kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Di mahkamah yang sama, Leang Win Son turut didakwa atas kesalahan mengurung kanak-kanak tersebut secara salah di sebuah bilik hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor pada kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu.
Pertuduhan ini dibuat di bawah Seksyen 346 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman, tertuduh menghadapi enam lagi pertuduhan. Empat daripada pertuduhan tersebut melibatkan pengumpulan 5,317 gambar dan video yang merupakan bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak yang ditemui dalam dua kad SD, cakera keras, dan telefon bimbit di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya 2, Taman Sri Kulai pada kira-kira jam 4 petang, 24 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sekurang-kurangnya tiga sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Bagi dua pertuduhan lagi, tertuduh didakwa memiliki 30 gambar pornografi kanak-kanak dalam telefon bimbit di bilik hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali pada kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu.
Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Leang Win Son juga didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan mengarahkan kanak-kanak membuka pakaian untuk dilihat olehnya di bilik hotel yang sama antara jam 12.30 tengah hari, 22 Julai hingga 4.45 pagi, 23 Julai.
Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif, memberitahu mahkamah bahawa semua pertuduhan tersebut tidak boleh dijamin.
Namun, jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau mencadangkan jumlah keseluruhan RM160,000 bagi semua lapan pertuduhan yang kini sudah menjadi 15 pertuduhan.
Peguam Nur Zafirah Norizan yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada ibunya.
“Ibu tertuduh berusia 58 tahun dan merupakan ibu tunggal. Ibunya tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap. Tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan dan ditanggung sepenuhnya oleh ibunya,” katanya.
SUMBER : BULETIN TV3
