Portal Hello

Kerjasama Tegas : OCC Desak Platform Digital Bertanggungjawab Penuh Atas Keselamatan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 16 Disember 2025 – Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) hari ini menyuarakan sokongan padu terhadap langkah tegas kerajaan dalam mengawal selia penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet berskala besar di negara ini.


Langkah ini dilihat sebagai anjakan paradigma dalam memastikan gergasi teknologi tidak hanya mengaut keuntungan, tetapi memikul tanggungjawab moral dan undang-undang yang setara terhadap keselamatan pengguna bawah umur.


Penguatkuasaan mulai 1 Januari 2026, semua penyedia perkhidmatan digital berskala besar akan disifatkan sebagai pemegang lesen di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming). Inisiatif yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini merupakan langkah kritikal bagi menyokong penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.


Menurut OCC, pengawal seliaan ini amat penting untuk memperkukuh akauntabiliti platform digital bagi melindungi kanak-kanak daripada ancaman di ruang siber. Kewajipan ‘Selamat Secara Reka Bentuk’, OCC menegaskan bahawa dalam landskap digital hari ini, platform media sosial bukan sekadar ruang sembang, tetapi tempat kanak-kanak belajar dan bersosial. Oleh itu, penyedia perkhidmatan wajib memastikan:
* Reka Bentuk Selamat: Platform mestilah selamat secara automatik (safety by design) melalui tetapan privasi yang ketat untuk kanak-kanak.
* Perlindungan Kandungan: Melaksanakan perlindungan mengikut umur dan menyekat akses kepada kandungan berbahaya serta risiko eksploitasi seksual.
* Mekanisme Aduan: Menyediakan sistem pelaporan dan remedi yang mudah diakses oleh pengguna.
* Kepentingan Terbaik Kanak-Kanak: Dasar platform harus dipandu oleh prinsip Artikel 3 Konvensyen

Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC). Melindungi Adalah Kewajipan, Bukan Pilihan Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), negara mempunyai kewajipan untuk melindungi golongan ini daripada sebarang bentuk penderaan, eksploitasi, dan kemudaratan fizikal mahupun emosi.


⁠”Melindungi kanak-kanak dalam talian bukanlah suatu pilihan, ia adalah kewajipan undang-undang dan moral di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja domestik Malaysia,” tegas OCC dalam satu kenyataan hari ini.

OCC turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan MCMC dan agensi kerajaan berkaitan bagi membina ekosistem digital yang lebih selamat, menjamin maruah, serta memelihara privasi kanak-kanak di Malaysia.

Exit mobile version