KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan program Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) Untuk Rakyat berkeupayaan merapatkan lagi jurang literasi digital dan pemahaman AI dalam kalangan rakyat.
Program tersebut melalu kerjasama dengan Intel Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, pada Selasa.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata AI Untuk Rakyat adalah satu inisiatif kerajaan yang menyediakan pemahaman asas mengenai teknologi AI bagi membuka peluang memperdalam pengetahuan teknologi dalam dunia digital.
“Bagi golongan pelajar, program ini dapat memberikan gambaran asas tentang dunia AI yang bertujuan untuk menarik minat mereka menceburi dan seterusnya membina kerjaya dalam sektor ini.
“Bagi golongan lain pula, program ini dapat memberikan fahaman asas tentang AI agar kita lebih faham yang ia adalah sebuah teknologi yang boleh membawa manfaat yang besar kepada kita sebagai individu,” katanya pada majlis pelancaran tersebut.
Tambah beliau, dengan memanfaatkan peluang itu, Malaysia mampu membina ekonomi digital yang kalis masa hadapan dan membolehkan negara menjana nilai yang lebih tinggi di persada dunia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Intel Malaysia AK Chong berkata, AI bukan hanya keajaiban teknologi tetapi juga pemacu kritikal bagi sesebuah ekonomi.
“Bayangkan AI sebagai sebuah jambatan, menghubungkan setiap inidividu kepada dunia yang penuh dengan peluang, tanpa mengira latar belakang atau keadaan. Inilah fokus program iaitu untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan, kemahiran dan peralatan yang diperlukan bagi mencapai kejayaan dalam era digital.
“Saya menjemput anda semua untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini bagi membawa AI ke setiap penjuru,” jelasnya lagi.
AI Untuk Rakyat merupakan sebuah program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai tentang AI.
Ia boleh dicapai oleh semua dia mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Pengalaman pembelajaran yang menarik dan interaktif disediakan melalu dua bahagaian iaitu AI Aware dan AI Appreciate.
AI Aware bertujuan bagi memperkenalkan dan membincangkan kes-kes penggunaan AI serta memperjelas kekeliruan umum mengenai AI.
Manakala AI Appreciate mengupas lebih lanjut tentang aplikasi dan impak AI merentas industri serta menyasarkan mereka yang ingin meningkatkan pengetahuan tentang AI.
Program ini boleh dicapai melalu portal www.ai.gov.my dan disasarkan untuk mencapai satu juta peserta pada tahun ini.
Tonton video penuh Majlis Peluncuran AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia, pada Selasa – Sumber Video: Youtube Rafizi Ramli
Sumber: BERNAMA
