Sinar harapan untuk acara sukan badminton perseorangan lelaki di Sukan Asia 2023 Hangzhou masih menyala, dengan Lee Zii Jia menewaskan pemain Hong Kong, Angus Ng semalam.
Ketinggalan satu set, Lee Zii Jia kembali bangkit dengan memenangi set yang kedua dan ketiga sekaligus melayakkan beliau ke peringkat seterusnya untuk penentuan pusingan ke-16.
Selepas habisnya perlawanan tersebut, sidang media yang dijalankan untuk temubualnya membangkitkan isu-isu berkenaan dirinya.
“Jangan sentuh family saya, jangan mention family saya.
If you cross that line, saya akan give up anything dan I will chase after you.”, ujar Lee Zii Jia semasa ditemubual oleh pelbagai pihak media.
Lee Zii Jia tidak menyatakan secara spesifik bahawa beliau merujuk kepada isu yang mana terpalit pada dirinya namun amaran beliau mungkin bertujuan untuk memberitahu media untuk menjauhi keluarganya.
Pemain badminton ke-16 dunia itu juga ada menambah kenyataan dengan menyatakan beliau seringkali diperkatakan oleh media sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sama ada ia benar mahupun sebaliknya.
Pemain kelahiran Kedah tersebut meninggalkan BAM pada 11 Januari 2022 kerana ingin mencapai kejayaan dalam ruang dan masa sendiri, dan tidak ingin disinonimkan dengan Lee Chong Wei yang mampu mengendalikan tekanan yang tinggi.
Setelah perlawanan bersama Angus Ng tamat, Lee Zii Jia juga turut meluahkan perasaan lega dan gembira kerana beliau tidak pernah mengalahkan Angus Ng dalam empat pertemuan dengannya sebelum ini.
Kini, beliau ingin fokus menjaga momentum kedalam perlawanan seterusnya dan ingin melupakan kegagalan beliau sewaktu acara berpasukan badminton, yang tewas ditangan Korea Selatan.
