Portal Hello

Isu kejatuhan harga belian padi, BERNAS tidak mahu memberi ulasan

Berikutan isu terkini yang menunjukkan kejatuhan harga belian padi, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengatakan isu tersebut adalah masalah dan urusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dan bukannya urusan mereka.

“Harga padi ini bukan di bawah penguatkuasaan Bernas. Semua ketetapan harga padi tempatan di bawah seliaan dan kawalan kementerian.

“Kami (Bernas) tidak boleh nak komen apa-apa pasal ini sebab nanti mengganggu urusan kementerian.” ujar jurucakap dari pihak BERNAS menurut sumber Berita Harian.

Jurucakap BERNAS turut menyatakan bahawa jikalau ada sebarang pertanyaan berkenaan harga padi, mereka perlulah menghubungi Kementerian Pertanian dahulu kerana harga siling, padi dan subsidi dikawal oleh kementerian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain memberikan ulasan berkenaan kekecawaan beliau kerana dibawah tindakan pengilang, harga belian padi telah dikurangkan dari RM1,700 per metrik tan kepada harga asas RM1,200 bermula sejak semalam.

Harga baharu tersebut membuatkan pesawah merasa tertipu dengan kenaikkan harga padi, kerana sebanyak RM1,285 padi per metrik tan dijual pada musim yang lalu.

“Kerajaan dan pengilang perlu bersikap adil dan bertimbang rasa kepada petani, kerajaan perlu mengkaji semula bagi menetapkan harga siling beras yang munasabah. Harga padi dan beras perlu diselaraskan dan diseimbang kepada harga yang lebih adil antara petani, pengilang dan pengguna.” tambahnya.

Che Ani meneruskan luahan kekecewaan beliau dengan memberi ulasan bahawa kerajaan perlu mengambil kira juga nasib pesawah dan harga padi yang dihimpit pelbagai isu berkenaan padi.

Peruntukan RM400 juta subisidi untuk beras import juga merupakan penyelesaian jangka pendek, dan bukannya jangka panjang dan menyeluruh, beliau berkata.

Exit mobile version