GURUN, KEDAH – Setakat ini yang dilaporkan, seramai 74 mangsa terjejas daripada 21 keluarga yang semuanya terkesan dari banjir kilat yang melanda mukim Gurun pada hari semalam susulan hujan lebat yang berterusan.
Berdasarkan info dari Kapten (PA) Azahar Ahmad sebagai Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda yang menyatakan berkenaan nama-nama kampung yang terjejas seperti Kampung Jelatang, Sungai Kunyit, Pekan Atap, Sungai Badak, Belakang Mahkamah Badak dan juga Tepi Taman Gurun Jaya /Ladang Hock Kim.
Keenam-enam kampung tersebut terkesan dengan banjir tersebut dan setakat ini tiada lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka untuk mangsa-mangsa banjir tersebut.
“Hujan lebat melebihi dua jam bermula jam 10.25 malam semalam menyebabkan kawasan di Mukim Gurun di daerah ini terjejas akibat banjir.” ujar beliau.
Katanya lagi, limpahan air secara mengejut secara tidak langsung menyebabkan banyak rumah yang berhampiran dinaiki air kerana faktor tanah rendah dan berhampiran sungai sekaligus merosakkan harta benda mangsa-mangsa banjir yang terkesan teruk.
Pada ketika ini, Azahar turut berkata air sudah mulai surut di kawasan Gurun tersebut dan mangsa-mangsa banjir dibantu oleh Anggota dari Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda untuk proses pembersihan di rumah mereka.
APM akan terus usaha mereka dalam mengenal pasti punca kejadian yang sebenar-benarnya dan bersedia jikalau perlu menyuruh penduduk kawasan tersebut untuk berpindah sebentar jika dikhuatiri akan banjir lagi dalam masa akan datang.
