Berita

‘Bukan semua benda boleh dijadikan bahan sindiran, gurauan sinikal’ – Timbalan Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Tindakan menyunting rakaman suara Takbir Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga kedengaran perlahan seperti dalam mod ‘slow motion’ dan dijadikan bahan gurauan di media sosial, mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin agama negara.

Menegur perbuatan tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan ia sebagai satu perbuatan tidak beretika yang mempermainkan amalan syiar Islam semata-mata kerana perbezaan pandangan politik.

“Bukan semua perkara perlu dibangkang, bukan semua benda boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan sinikal.

“Berbeza pandangan tidak salah, namun jangan sampai tahap menghina, mengaib dan memfitnah, apalagi dengan perkara berkait kesucian nama Allah SWT serta ketinggan Islam sebagai agama yang kita semua cintai,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dr. Zulkifli juga menjelaskan bahawa Takbir Raya merupakan syiar Islam yang sangat dituntut, bermula daripada terlihatnya anak bulan Syawal sehingga selesai solat Hari Raya, sebagaimana disebut dalam Surah al-Baqarah, ayat 185.

Malah, Rasulullah SAW juga pernah bersabda: ‘Hiasilah Hari Raya kamu dengan bertakbir.’

Menurut beliau, laungan takbir adalah tanda keinsafan serta pengagungan kepada Allah SWT atas segala nikmat-Nya.

“Setelah sebulan berpuasa dan diberikan kesempatan beribadah serta menikmati bulan penuh hidayah – Ramadan, umat Islam melaungkan takbir dengan penuh gema kegembiraan.

“Ia juga sebagai lambang perpaduan dan kekuatan ummah kerana semua umat Islam bertakbir bersama di Malaysia dan seantero dunia.

“Kebersamaan yang ditonjolkan dalam Takbir Raya menjadi penyubur ukhwah dalam mengukuhkan hubungan sesama umat Islam, tanpa mengira warna kulit mahupun latar belakang,” jelas beliau.

Tegasnya lagi, ketika mengalunkan Takbir Raya, umat Islam menzahirkan harapan agar Allah SWT membantu menghancurkan musuh-Nya.

Justeru, ia perlu dilihat dari aspek penghayatan dan simbolik keindahan amalan tersebut, bukan sejauh mana kemerduan atau kelunakan suara sesiapa juga yang melakukannya.

“Tidak wajar kita mempermainkan Takbir Raya atas nama gurauan atau semata-mata kerana perbezaan sokongan ideologi politik kepartian.

“Kritiklah dengan fakta jika ada perkara yang tidak dipersetujui, bicaralah dengan hujah yang benar dan dikaji secara bersungguh,” tulis beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Islam agar menjadi Mukmin sejati dengan menampilkan akhlak dan adab yang tinggi.

“Bertakwalah kerana Allah tidak melihat selucu atau setular mana bahan kandungan yang kita muat naik ke media sosial kita, sebaliknya iman dan takwa kita yang menjadi pengukur amalan di akhirat kelak.

“Semoga Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar! La ilaha illa Allah, Allahu Akbar, Allahu Akbar walillahil hamd,” katanya mengakhiri kenyataan tersebut dengan lafaz takbir.

Related Articles

Back to top button