UNITED KINGDOM – Peralatan makanan selalu datang dari penggunaan bahan plastik yang mengandungi bukuh memberikan kesan jangka panjang yang agak serius termasuklah risiko kerosakan buah pinggang.
Agensi Standard Makanan (FSA) United Kingdom mendapati bahawa pendedahan berpanjangan terhadap cawan dan penyedut minuman yang mengandungi bahan tertentu boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius terhadap seseorang.
Dr James Cooper yang merupakan Timbalan Pengarah Dasar Makanan FSA United Kingdom berkata beliau memberi amaran awal kepada rakyat Britian supaya tidak menggunakan plastik meragukan yang mengandungi sumber semula jadi selepas menemui kaitannya dengan kerosakan buah pinggang yang serius.
“Selain daripada buluh, turut dinasihatkan tidak menggunakan “food contact materials” seperti alatan makan dan bekas ‘tupperware’ yang diperbuat daripada bahan tumbuhan lain yang digunakan untuk membuat campuran plastik.”
“Bahan tumbuhan itu termasuk sekam padi, jerami gandum dan rami, yang didapati oleh Jawatankuasa Kesan Kimia dalam Makanan, Produk Pengguna, dan Alam Sekitar (COT) tidak terbukti selamat untuk digunakan,” ujarnya.
COT dan FSA mendapati juga berkenaan buluh dan bahan seumpamanya yang digabungkan dengan plastik akan menyebabkan bahan kimia formaldehid dan melamin bocor ke dalam produk dan menyebabkan kesan yang sangat bahaya.
“Walaupun formaldehid dihasilkan secara semula jadi oleh badan manusia, jika kita menelan terlalu banyak, ia boleh menyebabkan simptom gastrointestinal (masalah perut dan usus).
“COT turut mendapati bahawa bahan yang ada unsur melamin dalam jangka masa pendek tidak beracun, namun pendedahan yang lebih lama sangat merbahaya kepada kesihatan.
“Apabila dimakan pada tahap yang melampau, ia boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan membahayakan saluran kencing,” tambahnya lagi.
Dr James berkata, walaupun COT mengakui tidak mungkin penggunaan produk plastik ini dari semasa ke semasa akan berbahaya kesihatan pengguna, namun FSA memberi amaran tentang pendedahan kesan jangka panjang.
“Risiko jangka panjang penggunaan produk-produk ini masih tidak jelas (dalam kalangan pengguna) dan FSA ingin menghentikan penjualan plastik ini oleh peruncit. FSA juga mahu orang yang memiliki plastik ini untuk membuangnya atau menggunakannya semula (untuk tujuan lain),”
FSA menambah lagi kenyataan dengan menyatakan tiada bukti yang cukup untuk membuktikan produk tersebut selamat digunakan oleh pengguna. Pendirian FSA juga teguh dengan menyatakan bahawa alat dan bekas makanan yang mengandungi bahan komposit buluh tidak boleh dijual di Britain.
SUMBER : BERITA HARIAN , FSA
