Portal Hello

Pandu Melebihi Had Laju Punca BMW Kemalangan Di Lebuhraya MEX

SERDANG – Sebuah kereta BMW yang dipandu dalam kelajuan berbahaya mengundang padah apabila telah merempuh sebuah kereta lain, menyebabkan seorang penumpang maut, manakala pemandu kereta yang dirempuh iaitu seorang warga emas tercedera.

Menerusi video yang tular di media sosial sejak Isnin, pemandu BMW tersebut dilihat memandu secara laju dan melanggar sebuah kenderaan lain sebelum terbalik ke bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta BMW dan kereta Honda CR-V di Kilometer 15 Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX), pada pukul 3.05 petang.

Dalam hasil siasata awal, beliau mendapati bahawa kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada kereta BMW yang hilang kawalan sebelum merempuh sisi kanan belakang kereta Honda CR-V yang akhirnya menyebabkan kedua kereta tersebut berpusing dan terbalik.

“Akibat pelanggaran itu, kereta Honda CR-V terbabas di tepi kiri jalan manakala kereta BMW berpusing menyebabkan penumpang hadapan tercampak ke atas jalan raya sebelum kereta terbabas ke bahu jalan,” jelas beliau.

Menurut Anbalagan, penumpang iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun, yang juga merupakan seorang penyelia sebuah syarikat pengangkutan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dan mayat beliau telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Serdang bagi tujuan post mortem.

Sementara itu, pemandu kereta BMW, 29, merupakan seorang pengurus syarikat kejuruteraan sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital swasta kerana terdapat bengkak di bahagian belakang leher.

Seterusnya, pemandu CR-V, 73, iaitu seorang warga emas pula merupakan pesara dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya akibat keretakan pada lehernya.

“Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) iaitu saksi kenderaan lain sewaktu kejadian telah dihubungi dan akan hadir ke IPD Serdang dalam masa terdekat kerana sedang berada di luar kawasan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerada memandu dengan melulu atau membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” jelas Anbalagan dalam kenyataannya pada Ahad lalu.

Lihat video penuh kejadian di bawah.

https://negaranews.net/wp-content/uploads/2023/10/video-kemalangan-BMW.mp4
Video yang diambil menerusi kamera papan pemuka (dashcam) milik saksi kenderaan lain ketika kejadian kemalangan di Lebuhraya MEX, Ahad lalu. Sumber Izzul Iman di Facebook.

Sumber: Facebook, Majoriti, SinarHarian

Exit mobile version