KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai pemain penting dalam diplomasi serantau apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima pujian tertinggi daripada Amerika Syarikat (AS) atas peranan beliau memudahcara proses damai antara Kemboja dan Thailand.
Dalam kenyataan rasmi Jabatan Negara AS, Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (General Border Committee) yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini digambarkan sebagai langkah awal yang konstruktif bagi memastikan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua negara berjiran itu.
Presiden Donald Trump dan Setiausaha Negara, Marco Rubio, turut menggesa kedua-dua kerajaan untuk menghormati sepenuhnya komitmen yang dicapai serta berusaha mencapai keamanan berkekalan.
“Kami memuji Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, atas kepimpinan beliau dalam memudahcara proses ini dan kerana menjadi tuan rumah bersama mesyuarat khas penting pada 28 Julai bersama Amerika Syarikat,” kata kenyataan itu.
Pengiktirafan ini bukan sekadar simbol penghormatan antarabangsa, malah mengangkat martabat Malaysia sebagai pengantara dipercayai di rantau Asia Tenggara. Dalam dunia yang semakin mencabar, suara Malaysia terus bergema sebagai pendukung keamanan, kestabilan, dan kerjasama serantau.
