Berita

Anwar mampu bawa ASEAN ke peringkat lebih tinggi

Pensyarah Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata, gaya diplomasi Anwar yang pragmatik dan proaktif boleh memperkukuh kerjasama serantau serta hubungan ASEAN dengan kuasa global seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Kepimpinan beliau bukan sahaja boleh mengangkat imej ASEAN di mata dunia, tetapi juga membawa manfaat ekonomi dan kestabilan politik kepada rantau ini,” katanya ketika dihubungi.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berpeluang memainkan peranan lebih besar dalam mencorakkan hala tuju rantau ini ke arah masa depan yang lebih maju.

Justeru, beliau turut menekankan kepentingan Malaysia MADANI sebagai dasar progresif yang boleh diterapkan dalam kepimpinan ASEAN.

Dr. Tunku Mohar turut mengimbas sejarah ASEAN, yang pada awalnya lebih fokus kepada ancaman ideologi, tetapi kini berkembang menjadi blok ekonomi dan politik yang berpengaruh.

“Dengan keanggotaan hampir lengkap di Asia Tenggara, ASEAN berpotensi menjadi suara yang lebih berwibawa dalam politik antarabangsa.

“Dalam aspek ekonomi pula, sidang kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan membuka peluang besar kepada perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta dengan rakan dagang global.

“Ini bukan sahaja memperkukuh ekonomi Malaysia tetapi juga merangsang pembangunan rantau secara keseluruhan.

“Malaysia boleh menonjolkan kestabilan politiknya sebagai model bagi negara-negara serantau, di samping memainkan peranan utama dalam mengurangkan ketegangan keselamatan serantau,” tambahnya.

Dengan visi kepimpinan yang kukuh, Malaysia berpotensi menjadi pemacu utama dalam memperkasakan ASEAN sebagai organisasi yang lebih berdaya saing dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Related Articles

Back to top button