Portal Hello

Ancaman Judi Dalam Talian

AKTIVITI perjudian dalam talian semakin berleluasa dan menjadi ancaman serius kepada individu serta masyarakat.

Dengan kecanggihan teknologi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), sindiket perjudian semakin licik dalam menarik perhatian mangsa, khususnya golongan muda yang mudah terpengaruh.

Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Digital Negara, Ts Ahmad Tarmizi Abdul Kadir memberitahu, selain menyebabkan ketagihan dan masalah kewangan, aktiviti judi turut dikaitkan dengan jenayah seperti pengubahan wang haram dan eksploitasi kewangan.

“Oleh itu, kesedaran dan penguatkuasaan yang lebih ketat amat diperlukan bagi membendung isu ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, pendidikan awal tentang bahaya perjudian amat penting bagi melindungi anak-anak daripada terjerumus ke dalam gejala ini.

“Ibu bapa perlu menerapkan nilai moral serta kesedaran kewangan sejak kecil agar dapat membantu mereka memahami risiko yang wujud.

“Komunikasi yang terbuka dalam keluarga juga memainkan peranan penting agar anak-anak tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau ajakan rakan.

“Selain itu, pemantauan aktiviti dalam talian dan bimbingan mengenai keselamatan digital dapat membantu mereka lebih berwaspada terhadap sebarang pautan atau iklan yang mencurigakan,” jelasnya.

Dari sudut kerjaya pula, Ahmad Tarmizi berkata, ancaman judi dalam talian semakin kritikal kerana ia menjejaskan produktiviti pekerja dan boleh membawa kepada salah laku kewangan seperti pecah amanah.

“Ramai yang terjebak dengan perjudian ini mengalami ketagihan sehingga membuat keputusan kewangan yang tidak bijak.

“Malah ada yang sanggup menggunakan wang syarikat bagi melangsaikan hutang judi.

“Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah boleh membawa kepada ketidakstabilan sosial dan peningkatan kadar jenayah akibat tekanan kewangan yang dialami pemain.

“Justeru, kesedaran dalam sektor pekerjaan serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas amat diperlukan untuk mengelakkan masalah ini daripada terus berleluasa,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, bagi menghindari terjebak dalam kancah perjudian dalam talian, pengguna media sosial perlu sentiasa berwaspada terhadap iklan yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Elakkan klik pada pautan mencurigakan, menggunakan aplikasi penapisan internet serta laporkan sebarang aktiviti berkaitan judi kepada pihak berkuasa adalah antara langkah pencegahan yang boleh diambil.

“Selain itu, kesedaran mengenai bahaya perjudian perlu disebarkan dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat agar lebih ramai memahami risiko yang dibawa oleh gejala negatif ini,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, judi dalam talian bukan sekadar masalah individu tetapi ancaman besar kepada ekonomi dan kestabilan sosial.

Exit mobile version