Berita

Kerajaan Sepanyol Mahu Netanyahu Dibawa Ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

SEPANYOL – Menteri Hak Asasi Sosial Sepanyol mengeluarkan kenyataan untuk menyeru kerajaan gabungan bersama negaranya bagi membuat petisyen kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk membuka penyiasatan berkenaan jenayah perang terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Ketua Parti Sayap Kiri Podemos Sepanyol Ione Belarra, dalam satu kenyataan video yang dihantarnya menerusi aplikasi media sosial X, telah mengutuk keras tindakan Netanyahu yang membiarkan pengeboman udara yang berterusan serta meletakkan sekatan melampau yang telah menghalang aliran bebas bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan oleh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

“Hari ini, kami secara keras ingin mengecam negara Israel yang sedang melakukan perancangan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, (dengan cara) membiarkan ratusan ribu orang tanpa elektrik, air, dan makanan, serta melakukan pengeboman ke atas populasi orang awam yang merupakan hukuman kolektif, (iaitu) melanggar undang-undang antarabangsa secara serius (dan) boleh dikira sebagai jenayah perang,”.

Israel tidak termasuk dalam anggota negara yang disenarai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), namun pendakwa tertinggi mahkamah yang berpangkalan di Belanda memberitahu bahawa konflik perang antara tentera Hamas dan kerajaan Israel terletak di bawah bidang kuasa mahkamah itu.

Ekoran serangan balas daripada Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel, Netanyahu kemudiannya memulakan pengeboman yang tidak masuk akal ke atas Semenanjung Gaza yang padat dengan kanak-kanak, wanita, dan orang tua, serta memusnahkan infrastruktur awam dan menyekat laluan kemasukan dari luar, menyebabkan terputusnya bekalan makanan, elektrik, bahan api, dan bekalan kritikal lain untuk rakyat Palestin.

Seorang jurucakap dari Israel juga telah mengakui bahawa tujuan serangan ke atas Gaza sebenarnya lebih kepada untuk mendatangkan kerosakan besar-besaran di tempat itu, dan bukannya kerana ingin menyasarkan Hamas dengan tepat.

Disebabkan itu, lebih 2,600 orang di Gaza telah terbunuh sejak pengeboman Israel bermula dan lebih sejuta telah kehilangan tempat tinggal. Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) memberi amaran bahawa serangan udara dan sekatan Israel telah mencetuskan “malapetaka kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini” apabila sistem penjagaan kesihatan Gaza seperti hospital hampir runtuh.

Sementara itu, dalam kenyataan Belarra menerusi video berdurasi lima minit itu, beliau turut mengecam keterlibatan Kesatuan Eropah (EU) dan kerajaan Amerika Syarikat (pembekal utama persenjataan Israel) dalam serangan dahsyat ke atas Gaza dan menggesa EU untuk ‘berhenti mengikut membuta tuli’ Amerika Syarikat.

“Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah tidak memandang sebaliknya atau bertindak secara neutral, (namun) mereka menggalakkan negara Israel dalam dasar apartheid dan pendudukan yang melanggar hak asasi manusia secara serius.

“Menggunakan Hamas sebagai alasan untuk membunuh beribu-ribu orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak, adalah kemunafikan yang tidak terkata di pihak Israel dan negara-negara yang membenarkannya,” kata Belarra.

Tonton video penuh ucapan Ketua Parti Sayap Kiri Podemos Sepanyol Ione Belarra menerusi hantaran di aplikasi media sosial X.

https://twitter.com/ionebelarra/status/1713836554047602877

Sumber: Twitter, The New York Times

Related Articles

Back to top button