KUALA LUMPUR, 15 Januari 2026 — Seramai 3.1 juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kategori bujang bakal menerima bantuan bermula esok, 16 Januari 2026, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi menangani tekanan kos sara hidup rakyat.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada golongan bujang berpendapatan rendah, khususnya dalam kelompok B40, yang dikenal pasti paling terkesan dengan peningkatan kos barangan keperluan asas dan kos hidup harian.
Bagi Zikri, seorang penuntut tahun akhir Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, bantuan SARA disifatkan sebagai kelegaan yang amat bermakna dalam mengurus keperluan harian sebagai mahasiswa.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, setiap bantuan sangat membantu. Sekurang-kurangnya ada ruang untuk beli barang dapur dan keperluan asas tanpa terlalu risau soal perbelanjaan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Zikri, sebagai pelajar yang sedang menamatkan pengajian, beliau turut berdepan tekanan kewangan bagi menampung kos sara hidup, bahan pembelajaran serta perbelanjaan harian, terutamanya ketika perlu menguruskan persiapan akhir pengajian.
Beliau menyifatkan bantuan yang disalurkan tepat pada masanya sebagai bukti kerajaan sentiasa peka terhadap realiti kehidupan rakyat biasa, khususnya golongan bujang dan mahasiswa yang bergantung kepada pendapatan terhad.
Kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa penyaluran SARA dilaksanakan secara bersasar dan telus, dengan prinsip utama memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya.
Dengan penyaluran bantuan kepada jutaan penerima bermula esok, kerajaan berharap inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan rakyat, sekali gus memastikan keperluan asas golongan terkesan terus terpelihara.
